Karangan Syarahan- Langkah-langkah Mengatasi Masalah Kenaikan Harga Barang

    Selamat sejahtera saya ucapkan kepada Tuan Pengetua,guru-guru dan rakan-rakan sekalian.Terima kasih kerana  mengundang saya untuk menyampaikan ceramah sempena Hari Keusahawanan sekolah ini.Tajuk ceramah saya ialah "Langkah-langkah Mengatasi Masalah Kenaikan Harga Barang".

Hadirin yang saya hormati,
   Dalam usaha mencapai kemajuan negara,kita seringkali melihat media massa yang kian membangun dengan pesat menularkan tentang hal-hal yang berlaku di malaysia.Namun begitu,topik yang selalu dipaparkan majoritinya adalah tentang kenaikan harga barang.Perkara ini telah menjadi perbualan utama masyarakat di Malaysia dari bibir ke bibir.Justeru itu,kehadiran saya disini adalah untuk berkongsi pengetahuan saya berkenaan langkah-langkah mengatasi masalah kenaikan harga barang.

    Antara langkah yang boleh dilakukan adalah berbelanja secara berhemat.Saya amat menyarankan agar hadirin sekalian membuat senarai barangan yang hendak dibeli terlebih dahulu.Berbelanjalah mengikut keutamaan dan bukannya untuk kepuasan semata.Hal ini kerana perbuatan pembaziran akan merugikan seseorang bersesuaian dengan kegawatan ekonomi di negara kita sekarang.Seterusnya,penanaman sayur-sayuran juga penting sebagai langkah penjimatan.Hadirin dan hadirat sekalian tidak perlu berbelanja sayur-sayuran di pasar raya kerana harganya juga yang kian meningkat.

   Seterusnya,pihak KPDNKK iaitu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan turut berperanan untuk membendung masalah kenaikan harga barang.Mereka boleh melakukan pengawasan dan pemantauan di premis-premis perniagaan sekurang-kurangnya sekali dalam sebulan.Oleh itu,dendaan boleh dikenakan ke atas peniaga-peniaga yang tidak bertanggungjawab dan tidak telus dalam perniagaan.Langkah ini berkait rapat dengan langkah seterusnya yang akan saya nyatakan iaitu tindakan undang-undang.Dengan wujudnya Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan (Pindaan) 2014,peniaga akan berasa takut dan teragak-teragak untuk menaikkan harga barangan mereka.

Hadirin sekalian,
    Ilmu kepenggunaan di sekolah juga adalah penting bagi membantu masalah yang sudah bersarang lama di negara kita ini.Murid digalakkan untuk menyertai aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh Kelab Pengguna sebagai langkah awal.Justeru itu,ilmu yang dimiliki pasti akan dimanfaatkan pada masa akan datang.Peniaga yang bakal dilahirkan nanti akan sedia maklum dengan masalah ini dan akan sedaya upaya untuk mengelakkannya berlaku lagi.Akhir sekali,ceramah serta kempen boleh dijalankan di sekolah atau di balai masyarakat.Perkara ini penting bagi memastikan pembeli dan pengguna sentiasa berhati-hati ketika berbelanja.Saya amat yakin bahawa aktiviti seperti ini akan meningkatkan lagi kesedaran para masyarakat untuk mengatasi masalah kenaikan harga barang dari semasa ke semasa.

Hadirin yang saya kasihi,
   Ingin saya tegaskan sekali lagi bahawa pelbagai langkah yang efektif dapat dipraktikkan secara bijaksana untuk mengatasi masalah kenaikan harga barang.Oleh itu,semua pihak perlu bekerjasama seperti 'aur dengan tebing' dengan penuh semangat untuk mengatasi masalah ini dengan sebaik-baiknya.

   Sekian,terima kasih.

Comments